PH tanding 24 kerusi…Sungai Rambai, Taboh Naning kerusi terbaru

PAKATAN Harapan (PH) menambah dua lagi calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual pada 14 November ini.

Tambahan calon itu adalah Aminuddin Abdul Jalil di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, manakala Junainah Sahat akan bertanding di DUN Taboh Naning.

Perkara itu disahkan Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, menjadikan parti komponen PH itu bertanding di tujuh kerusi berbanding lima yang diumumkan pada Sabtu lalu.

“Kita meletakkan calon berdasarkan kekuatan jentera di kawasan berkenaan. Pertambahan dua calon ini menjadikan tujuh kerusi akan diwakili oleh Amanah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Aminuddin merupakan Ketua Cawangan Amanah Jasin, manakala Junainah ialah Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Masjid Tanah.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh memaklumkan parti itu turut menambah satu lagi kerusi DUN, menjadikan keseluruhan 10 kerusi berbanding sembilan yang diumumkan sebelum ini.

Kerusi tersebut ialah DUN Ayer Limau dengan Mej (B) Jaimi Dimon akan mewakili parti itu pada PRN akan datang.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan keseluruhan kerusi ditandingi PH ialah 24, berbanding 21 kerusi yang diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Oktober lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai Hari Penamaan Calon.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here