JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 64 warga asing yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian atau online scam yang dipercayai mengaut keuntungan haram sehingga RM6 juta dalam tempoh dua bulan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata tangkapan itu, dibuat menerusi operasi khas bersepadu bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selama dua hari bermula semalam, membabitkan empat unit kondominium mewah di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur dan dua unit banglo di The Mines.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 44 warga China, 19 warga Vietnam dan seorang warga Myanmar.
“Ahli sindiket dikesan bekerja dari 10 pagi hingga 11 malam dengan tawaran gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM6,000. Sindiket ini dipercayai aktif sejak dua bulan lepas dan menggunakan kemudahan komunikasi serta Internet untuk menjalankan kegiatan penipuan, yang menyasarkan mangsa melalui platform digital,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Zakaria berkata JIM telah mengenal pasti pemilik kediaman mewah yang dipercayai warga tempatan, dengan kadar sewa sebuah banglo dua tingkat mencecah RM25,000 sebulan, manakala unit kondominium disewa antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.
Beliau berkata operasi semalam membawa kepada penahanan 34 warga asing, terdiri daripada 15 lelaki warga China, 13 lelaki dan enam wanita warga Vietnam, manakala dalam operasi susulan hari ini, sebanyak 30 lagi warga asing ditahan, terdiri daripada 29 warga China dan seorang warga Myanmar.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati sindiket penipuan itu menjadikan warga asing terutamanya dari negara asal mereka sebagai pelanggan atau mangsa penipuan.
“Kegiatan berkenaan memperoleh keuntungan antara RM100,000 hingga RM150,000 sehari, dengan menawarkan perkhidmatan yang tidak pernah wujud,” katanya.
Zakaria berkata rekod transaksi turut menunjukkan kemungkinan pemberian komisen sekitar 17 peratus kepada kepada individu yang menjalankan kegiatan berkenaan.
Beliau berkata pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan sindiket tempatan sebagai perantara dan sedang menyiasat hubungan kedua-dua kumpulan itu, dengan rangkaian jenayah lain.
Dalam operasi itu, Zakaria berkata pasukan penguat kuasa turut merampas 28 komputer riba pelbagai jenama, 81 telefon bimbit, dua penghala dan sebuah modem dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM51,300.
Zakaria berkata pihaknya turut menemukan tiga pasport Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang belum dicetak maklumat pemiliknya.
“Berdasarkan maklumat awal, pasport berkenaan dipercayai berpotensi digunakan oleh sindiket dengan mencetak gambar mereka sekiranya keadaan mendesak, termasuk bagi tujuan melarikan diri,” katanya.
Bagaimanapun, Zakaria berkata perkara itu masih dalam siasatan lanjut, bagi mengenal pasti sama ada wujud kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan serta rangkaian individu yang terlibat.
Beliau berkata tiket penerbangan ke Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat turut ditemukan, dipercayai bagi memudahkan pergerakan keluar negara.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap peranti yang dirampas mendapati beberapa aplikasi masih aktif digunakan, termasuk Telegram yang dipercayai berfungsi sebagai medium komunikasi dengan pelanggan dan bagi tujuan skim pelaburan.
Beliau berkata turut dikenal pasti ialah sistem BOC Dayou, yang menggunakan nama dan elemen Bank of China serta portal Feng Pay Control yang digunakan untuk mengurus dan memproses transaksi pembayaran, termasuk melalui Alipay, WeChat Pay dan UnionPay.
Zakaria berkata kesemua warga asing terbabit memasuki Malaysia menggunakan pasport tulen dan secara sah sebagai pelancong.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai rekod jenayah, selain mengesan pihak yang mendaftarkan talian komunikasi tempatan yang digunakan sindiket.
Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1A)(c), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.





