Pakai kereta mewah tapi culas bayar cukai jalan…tunggakan cecah hampir RM35.7 juta

SEMAKAN Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati lima jenis kenderaan mewah paling popular iaitu Rolls-Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche mencatat jumlah tunggakan cukai jalan yang tinggi sehingga mencecah RM35.7 juta.

 Menteri Pengangkatan Anthony Loke mendedahkan, mereka yang menggunakan kereta itu tetapi culas membayar cukai jalan berkenaan ialah orang kenamaan, termasuk ahli politik, antara pemilik kenderaan berkenaan.

‘’Terdapat 345 buah Rolls-Royce dengan jumlah tunggakan RM6.4 juta, 372 Lamborghini (RM3.7 juta), 660 Bentley (RM7 juta), 675 Ferrari (RM4.7 juta) dan 4,308 Porsche (RM13.7 juta).

‘’Keseluruhannya, hanya lima jenis kenderaan ini sahaja sudah mencecah hampir RM35.7 juta cukai jalan yang tidak diperbaharui. Jumlah ini melibatkan kurang 10,000 kenderaan tetapi nilai tunggakan sangat besar,” katanya pada sidang akhbar di  Putrajaya hari ini.

Anthony berkata, JPJ mempunyai semua maklumat pemilik, jenis kenderaan dan tempoh cukai jalan yang tamat dalam sistem.

“Walaupun ada dalam kalangan mereka bergelar Tan Sri, ahli politik atau ahli perniagaan ternama, saya tidak akan umumkan nama kerana tidak mahu memalukan sesiapa.

“Saya mohon mereka yang tergolong dalam kumpulan ini supaya menjalankan tanggungjawab memperbaharui cukai jalan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata JPJ kini melaksanakan Ops Luxury secara berterusan bagi mengesan dan menyita kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah.

“Kenderaan yang ditahan akan disita serta-merta supaya tidak berada di atas jalan raya sehingga pemilik melunaskan cukai jalan dan insurans.

“Operasi ini bukan bertujuan memalukan individu tertentu tetapi memberi mesej jelas bahawa semua pihak, tanpa mengira status, mesti mematuhi undang-undang,” katanya.

Anthony berkata, ada pemilik yang sengaja menunggu sehingga kenderaan mereka disita kerana menganggap bayaran kompaun RM300 lebih murah berbanding jumlah cukai jalan yang perlu dijelaskan.

“Jika sikap ini berterusan, kami tidak teragak-agak mengambil langkah lebih drastik. Jangan paksa kami umumkan nama atau dedahkan senarai pemilik jika mereka terus berdegil,” tegasnya.

Beliau berkata, kadar cukai jalan bagi kenderaan mewah ada yang mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 setahun dan pemilik wajib memastikan ia diperbaharui bagi membolehkan kenderaan mereka layak berada di atas jalan raya.

“JPJ telah menyita lebih 400 kenderaan mewah dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Walaupun tidak semua kes disiarkan di media, operasi ini berjalan secara berterusan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img