PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, penarikan sokongan oleh 14 ADUN parti itu terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan bertujuan ‘menebuk atap’ atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang.
Katanya, ada tafsiran berbeza terhadap tindakan mereka sebelum ini daripada niat asal.
“Apabila ada persepsi dan pentafsiran yang berbeza daripada niat asal, saya telah mengadakan perbincangan dengan semua 14 ADUN tersebut untuk melihat semula keadaan.
‘’ “Kita tidak berhajat untuk ‘retract’, sebaliknya mahu membetulkan persepsi iaitu ia satu langkah yang berniat baik agar institusi raja dan institusi adat di Negeri Sembilan dapat dihormati dan dapat didukung oleh semua rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID di Putrajaya.
Isnin politik Negeri Sembilan tegang apabila 14 ADUN UMNO menarik sokongan terhadap Aminuddin dan menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar itu.
Sehubungan dalam satu kenyataan pada hari sama kesemua ADUN itu Barisan Nasional (BN) memaklumkan sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Mereka memaklumkan majoriti mudah itu diperoleh selepas sokongan dinyatakan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Melalui kenyataan sokongan daripada lima ADUN PN, UMNO BN telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri,” kata kenyataan berkenaan.
Malam tadi dalam satu kenyataan seleps Mesyuarat Biro Politik UMNO, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan kesemua ADUN tersebut menyokong Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan walaupun menarik sokongan terhadap Aminuddin.
Mengulas lanjut, Ahad Zahid mengesahkan pendirian ADUN berkenaan menyokong Kerajaan Perpaduan dan menjelaskan, pendirian itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan mereka bagi meneliti semula keadaan sebenar serta memperbetulkan persepsi yang timbul.


