Kekuatan umat Islam perlu diperkukuh melalui pendidikan, ekonomi dan teknologi – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan kekuatan umat Islam perlu diperkukuh melalui pendidikan, pembangunan ekonomi, penguasaan ilmu dan teknologi, di samping mengangkat nilai keadilan, ihsan dan kemanusiaan sejagat.

Perkara itu dicapai ketika Perdana Menteri menerima kunjungan Setiausaha Agung Rabithah al-Alam al-Islami, Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa di Putrajaya, petang tadi.

DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa di Putrajaya petang ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Kami juga sepakat bahawa masa depan yang lebih aman dan stabil hanya dapat dibina melalui dialog yang berterusan, sikap saling menghormati serta keterbukaan menjalin hubungan lebih erat antara masyarakat dan penganut pelbagai agama di seluruh dunia,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau malam ini.

Anwar berkata, beliau bersama Sheikh Dr Mohammad turut bertukar pandangan mengenai perkembangan dunia Islam serta usaha memperkukuh persefahaman antara agama.

“Kami menyentuh kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 di Kuala Lumpur baru-baru ini yang berjaya menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan dan pemimpin masyarakat dari pelbagai latar belakang serta negara.

“Platform ini amat penting dalam membina persefahaman, merapatkan jurang perbezaan serta memupuk budaya dialog yang matang.

“Beliau turut berkongsi pandangan mengenai peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa, termasuk usaha membina jambatan persefahaman antara Timur dan Barat,” katanya.

Anwar turut memaklumkan menghargai peranan aktif Rabithah al-Alam al-Islami dalam mempromosikan kesederhanaan, keamanan serta kerjasama rentas agama pada saat dunia berdepan pelbagai konflik dan ketegangan yang semakin meruncing.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img