TEMPOH reman pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) disambung sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kertas siasatan kes berkenaan masih belum lengkap dan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan esok pagi untuk arahan selanjutnya.
“Tempoh reman pegawai tentera tersebut telah disambung sehingga esok.
“Setakat ini, seramai 12 orang saksi telah diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut, manakala empat lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 1.9 lebuh raya berkenaan.
Kejadian kira-kira jam 5.38 pagi itu dipercayai berlaku apabila suspek yang memandu sebuah Ford Fiesta masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza yang beroperasi sebagai kenderaan e-hailing.
Kenderaan e-hailing itu ketika kejadian membawa dua penumpang warga Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mangsa yang duduk di bahagian tengah kenderaan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang penumpang wanita berusia 20 tahun serta pemandu e-hailing mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Hasil ujian pernafasan mendapati suspek dipercayai memandu melebihi had alkohol yang dibenarkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.


