Banjir landa Larut, Matang dan Selama, 17 mangsa dipindahkan ke PPS

SEBUAH pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar bagi menempatkan 17 mangsa daripada lapan keluarga susulan banjir yang melanda Kampung Sungai Rotan, Trong dalam daerah Larut, Matang dan Selama malam ini.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Larut, Matang dan Selama dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.40 petang tadi.

“Pemantauan awal di lokasi mendapati kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat yang berterusan melebihi dua jam serta saliran parit kecil tersumbat dan tidak dapat menampung kapasiti aliran air.

“Keadaan air di sekitar Kampung Sungai Rotan dilaporkan masih berarus deras dengan paras ketinggian kira-kira 0.5 meter, namun menunjukkan trend menurun manakala cuaca di kawasan berkenaan dilaporkan mendung pada 6.21 petang tadi dan keadaan semasa masih hujan,” menurut kenyataan itu.

PKOD APM Daerah Larut, Matang dan Selama memaklumkan pihaknya telah menggerakkan tiga anggota bersama sebuah kenderaan Hilux bagi menjalankan pemantauan serta membantu operasi di kawasan terjejas.

Tambah kenyataan itu, selepas selesai membuat pemantauan pada jam 7.37 malam, pasukan berkenaan meneruskan operasi ke SK Batu Hampar untuk memasang serta menghantar khemah (C-Tent) bagi kegunaan mangsa banjir di PPS berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama, Mohd Nasrul Menhat berkata, PPS itu mula beroperasi pada jam 8 malam tadi.

“Berikutan kejadian banjir yang berlaku di Kampung Batu 23 dan Kampung Batu 25, Sungai Rotan, Batu Hampar, dimaklumkan bahawa PPS dibuka pada 8 malam ini,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img