Malaysia mohon kerjasama negara sahabat pastikan aktivis flotilla dibebaskan segera

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengutuk tindakan ganas rejim Zionis Israel terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa, satu pelanggaran nyata undang-undang maritim dan menyerupai tindakan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.

Sehubungan itu, katanya  Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan. Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi.

‘’Kerajaan MADANI sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan mereka dibebaskan dengan segera. Dalam situasi getir ini, ihsan dan kemanusiaan harus mengatasi segala perbezaan dan Malaysia akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip tersebut.

‘’Kepada Allah SWT kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan, semoga kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi Global Sumud Flotilla. Hasbunallahu wa ni‘mal wakil,’’ kata Anwar.

Perdana Menteri juga memaklumkan beliau telah  berhubung dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Dato’ Dr. Sani Araby bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung penahanan para aktivis Global Sumud Flotilla.

‘’Ternyata rejim Zionis Israel sanggup bertindak bacul dan gila apabila menahan aktivis Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa semata-mata mahu menghentikan misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan,,’’ katanya.

Anwar berkata, beliau doakan keluarga aktivis terlibat diberikan kekuatan dan Kerajaan MADANI tidak akan berdiam diri.

‘’Kita sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua yang ditahan dibebaskan dengan segera Ini adalah saat yang menguji nurani kita sebagai manusia. Kita berdoa agar segala urusan dipermudah, mereka dilindungi daripada sebarang malapetaka, dan diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img