SYARIKAT-syarikat besar diharap dapat meneliti bentuk bantuan sokongan, khususnya dari aspek gaji dan perlindungan pekerja.
Ia bertujuan mempertingkat tanpa menjejaskan keuntungan yang diperoleh hasil usaha penat lelah golongan berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu penting bagi memastikan kebajikan pekerja terus terbela seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya berharap syarikat-syarikat besar dapat meneliti apa bantuan sokongan terutama aspek gaji dan perlindungan buat para pekerja dapat ditingkatkan dan tanpa menjejaskan keuntungan yang diperoleh melalui usaha penat lelah para pekerja sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Pekerja 2026 bertemakan `Pekerja MADANI Kesuma Negara’ di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyambut baik ucapan Amanat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 atau Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta bagi memperkukuh kebolehgajian pekerja serta memastikan pasaran buruh negara kekal berdaya tahan.
Menurut Perdana Menteri, dana berkenaan akan dikendalikan menerusi dana dalaman agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), TalentCorp serta beberapa pihak berkaitan.
Katanya, inisiatif itu amat dialu-alukan kerana mampu memperkukuh kebajikan dan perlindungan pekerja di negara ini.
Beliau juga memaklumkan, inisiatif itu dilaksanakan ketika kadar pengangguran negara berada pada paras 2.9 peratus, iaitu yang terendah dalam tempoh lebih sedekad.
Ia juga sebagai persediaan kepada pekerja yang berdepan risiko kehilangan pekerjaan untuk dilatih dengan kemahiran baharu, selaras dengan permintaan serta keperluan industri semasa.


