DATUK Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat terus memberi sokongan kepada langkah ekonomi yang sudah dan akan diambil kerajaan berikutan kenaikan harga minyak dunia akibat krisis Asia Barat.
Perdana Menteri berkata, buat masa ini, kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 satu liter, namun kerajaan perlu mengambil beberapa langkah susulan kerana situasi ekonomi kemungkinan semakin memburuk.
Beliau berkata, negara pengeluar minyak menaikkan harga minyak, termasuk pengeluar tertinggi, seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun Malaysia masih mengekalkan harga minyak yang terendah di dunia, selain Brunei.
“Kerajaan insya-Allah akan terus bekerja bertungkus-lumus mengambil langkah yang perlu tapi jangan kita andaikan (situasi) Mei sama dengan Februari kerana keadaan (ekonomi) dunia buruk.
“Tekanan ekonomi, pakar ekonomi, golongan korporat, semua mencadangkan, jika mahu jaga ekonomi, harga minyak harus dinaikkan.
“Saya jawab, saya realistik dalam menjaga ekonomi negara dan rakyat tetapi saya juga selalu merenung bagaimana nasib golongan pekerja, terutama di peringkat bawahan.
“Maka beri sokongan dalam langkah yang kita ambil. Jika pun terpaksa kita ambil beberapa langkah lain, percayalah kita tidak khianati amanah, kita tidak guna kuasa kayakan diri atau keluarga tetapi harga minyak jangan bimbang, kekal RM1.99,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada sambutan Hari Pekerja 2026 dengan tema `Pekerja MADANI Kesuma Negara’ di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.


