Abang tidak menyangka adik mangsa pembunuhan kejam

SEORANG lelaki tidak menyangka berita pembunuhan yang dibacanya dalam media sosial melibatkan mayat seorang wanita ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Kubang Kiat di Ketereh, Kelantan menimpa adik kandungnya sendiri.

Mohd Faris Zulkifly, 21, berkata, dia tidak menyangka adiknya, Nurfisya Zilkifly, 19, menjadi mangsa pembunuhan kejam itu kerana baru sahaja menghantarnya pulang ke Kelantan untuk menyambung pengajian semester pada Sabtu lalu.

“Baru Sabtu minggu lalu kami hantar adik menyambung semester baharu, tetapi hari ini kami terima berita yang sangat pilu,” katanya ketika ditemui media di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu malam ini.

Mohd Faris berkata, keluarganya dihubungi pihak polis kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi mengenai berita yang menimpa adiknya namun tidak tahu kejadian terperinci termasuk ditikam.

“Ketika itu, saya hanya dengar polis beritahu adik sudah meninggal dunia dan selepas itu tidak sanggup untuk mengetahui maklumat lanjut sebelum saya memutuskan panggilan.

“Tidak berlengah, kami sekeluarga terus bertolak dari Kuala Kangsar, Perak ke Kelantan dan jam 8 malam kami tiba di hospital,” katanya.

Media hari ini melaporkan, mangsa yang juga penuntut Kolej Poly-Tech MARA ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman sebelum ditinggalkan di jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh tengah malam tadi.

Mangsa ditemukan penduduk kampung jam 12.30 tengah malam dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu kepada bahagian kanan badan.

Mohd Faris berkata, mereka sekeluarga pada mulanya tidak tahu kejadian tragis yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu sebelum membaca berita dalam talian ketika tiba di Jeli, petang tadi.

Katanya lagi, sebaik mengetahui adiknya itu maut akibat ditikam, ibu dan bapanya tidak dapat menahan perasaan dan menangis tidak henti.

“Kami hanya tahu yang adik maut ditikam ketika dalam perjalanan datang ke sini (Kelantan) petang tadi selepas membaca berita dalam talian, memang sangat terkejut,” katanya.

Mohd Faris berkata, tiada sebarang perubahan dikesan terhadap Nurfisya namun ketika pulang bercuti ke Perak baru-baru ini mangsa teringin makan pelbagai makanan kegemaran termasuk ayam penyet.

“Adik juga ada memberitahu impian untuk memiliki kereta Mini Cooper dan berhasrat untuk membeli sebaik tamat pengajian dan mendapat pekerjaan nanti.

“Adik baru memasuki semester ketiga dan tempoh pengajiannya adalah tujuh semester semuanya, dia ada memberitahu untuk memiliki kereta Mini Cooper sebaik kerja nanti.

“Kami sekeluarga berharap pelaku dapat ditangkap secepat mungkin dan dihukum dengan hukuman yang setimpal,” katanya yang juga bekas penuntut kolej yang sama seperti adiknya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img