SERAMAI 10 aktivis Malaysia peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang sebelum ini diculik rejim Zionis di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece, telah dibebaskan.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dalam kenyataan berkata, kesemua mereka dilepaskan di Pelabuhan Lerapetra di kepulauan berkenaan.
Beliau memberitahu, seramai 175 aktivis kemanusiaan yang sebelum ini ditahan turut dibawa ke Lapangan Terbang Heraklion dengan menaiki bas disediakan pihak berkuasa Greece.
“Kerajaan Turkiye menyediakan pesawat berkapasiti 160 penumpang untuk membawa pulang 20 aktivis warganegara Turkiye.
“Turkiye turut menawarkan tempat kepada mana-mana aktivis GSF untuk turut serta dalam penerbangan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, 10 aktivis Malaysia terbabit dijadual berlepas ke Istanbul dari Lapangan Terbang Heraklion, malam ini.
“Pelepasan penerbangan tersebut dari Lapangan Terbang Heraklion dijangkakan pada jam 10.15 malam waktu Malaysia dan akan tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada jam 11.45 malam waktu Malaysia.
“SNCC mengesahkan 10 aktivis Malaysia akan terbang ke Istanbul,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya sudah berhubung dengan Kementerian Luar bagi menyelaras pergerakan aktivis Malaysia dari Greece ke Istanbul.
“Tiga wakil SNCC kini berada di Istanbul bagi menguruskan serta menilai keadaan semasa. Keputusan sama ada aktivis Malaysia akan meneruskan misi atau pulang ke tanah air bergantung kepada tahap kesihatan serta situasi semasa,” menurutnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan SNCC turut menerima laporan sebahagian aktivis berdepan provokasi dan serangan fizikal sepanjang tempoh penahanan, sehingga menyebabkan kecederaan kepada beberapa peserta.
Dalam perkembangan sama, dua ahli jawatankuasa induk GSF, Saif Abukeshek dan Thiago Ávila, dilaporkan masih ditahan, dipercayai bagi memberi tekanan serta melumpuhkan misi berkenaan.


