Peserta berdepan hampir 40 jam ‘kekejaman terancang’ atas kapal tentera Israel

AKTIVIS pro-Palestin yang ditahan oleh tentera Israel Defense Forces selepas menaiki dan memintas kapal bantuan ke Gaza milik Global Sumud Flotilla mendakwa mereka telah “dilayan secara kejam” dan berdepan hampir 40 jam “kekejaman terancang” di atas kapal tentera laut Israel di perairan Greece.

Mereka berkata bekalan makanan dan air tidak mencukupi, manakala aktivis dipaksa tidur di lantai yang sengaja dibanjiri berulang kali.

Menurut penganjur flotila, apabila tentera cuba menahan dua peserta, kru bertindak secara aman, namun dibalas dengan keganasan. Peserta dilaporkan ditumbuk, ditendang dan diseret dengan tangan diikat ke belakang, mengakibatkan kecederaan seperti hidung patah, tulang rusuk retak serta pendarahan teruk.

Dalam keadaan huru-hara itu, tembakan juga didakwa dilepaskan, lapor Qud News Agency.

Pihak penganjur turut mendakwa polis Greece kini menahan kru yang cedera di dalam bas dan menghalang mereka daripada bergerak bebas, manakala dua individu—Saif dan Thiago—dikatakan telah dibawa ke wilayah Palestin yang diduduki.

Seramai 60 peserta dilaporkan melancarkan mogok lapar sebagai tanda bantahan.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, menuduh Israel sekali lagi melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyerang flotila awam di perairan yang bukan miliknya, serta menggesa European Union membekukan hubungan dua hala.

Selain itu, beberapa kapal didakwa “dilumpuhkan secara sistematik” selepas diserbu—enjin dirosakkan dan sistem navigasi dimusnahkan—sebelum tentera berundur, meninggalkan ratusan orang awam terkandas di laut tanpa kuasa di laluan ribut besar yang sedang menghampiri.

Komunikasi dengan beberapa kapal juga dilaporkan diganggu, sekali gus menyukarkan penyelarasan dan permintaan bantuan.

Rampasan kapal tersebut berlaku kira-kira 600 batu nautika dari pantai Gaza, berhampiran pulau Crete. Sebelum serbuan, aktivis mendakwa bot laju tentera menghampiri mereka, mengenal pasti diri sebagai tentera Israel, sambil mengacu laser dan senjata separa automatik serta mengarahkan mereka berlutut. Mereka juga mendakwa sistem komunikasi kapal telah diganggu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img