“Dia minat tentera sejak kecil, mahu sambung legasi keluarga,” – Bapa Prebet Siti Khadijah

HASRAT seorang pesara tentera untuk melihat anak bongsunya meneruskan legasi keluarga dalam angkatan tentera tidak kesampaian apabila Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, terkorban dalam insiden letupan semasa latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, semalam.

Bapanya, Sungip Jais, 65, berkata Allahyarham yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik memilih menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM) kerana minat mendalam terhadap bidang ketenteraan selain mahu meneruskan jejak langkah keluarganya.

Menurutnya, anak perempuannya itu sudah menunjukkan minat terhadap kerjaya tentera sejak kecil dan tidak pernah berganjak dengan cita-cita berkenaan.

“Dia memang minat tentera sejak kecil. Dia pernah beritahu mahu sambung legasi keluarga kerana saya juga bekas anggota Tentera Darat.

“Selepas tamat pengajian Diploma Kejuruteraan Awam (Jalan Raya dan Pengangkutan) di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading, dia terus memohon untuk menyertai tentera,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Lambak, Kluang, hari ini.

Sungip yang pernah berkhidmat dalam Rejimen Artileri Diraja (RAD) berkata, arwah juga seorang anak yang sangat rapat dengan keluarga dan sering meletakkan ibu bapanya sebagai keutamaan.

Katanya, Allahyarham pernah menyatakan hasrat untuk menangguhkan perkahwinan kerana mahu menjaga kedua-dua ibu bapanya terlebih dahulu.

“Dia selalu cakap belum mahu fikir soal kahwin kerana mahu jaga mak dan ayah dahulu,” katanya dalam nada sebak.

Allahyarham sebelum ini pernah menerima pengiktirafan sebagai Perajurit Muda Wanita Akademik Terbaik pada Januari lalu selepas mencatat keputusan cemerlang sepanjang menjalani latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.

Siti Khadijah yang dilahirkan pada 19 September 2002 di Kluang mengikuti latihan sebagai Perajurit Muda Wanita daripada Kompeni Juliet sebelum diserapkan ke Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 10.57 pagi semalam, Siti Khadijah dan seorang lagi anggota, Koperal Norazmi Abu Bakar disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani selepas mengalami kecederaan parah susulan letupan ketika latihan berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img