POLIS mengesahkan pasangan tular yang bertengkar di Jalan Prima Saujana, Kajang, petang hari ini merupakan suami isteri.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pasangan tersebut juga telah tampil membuat laporan polis.
“Pengadu wanita mengesahkan dirinya tidak dipukul dalam kejadian tersebut dan menafikan dakwaan dicederakan suaminya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tambah beliau, satu laporan polis telah diterima kira-kira pukul 3.28 petang hari ini.
“Semakan terhadap rakaman video berdurasi kira-kira 30 saat itu menunjukkan kedua-dua pihak hanya terlibat dalam pertengkaran secara lisan tanpa sebarang perlakuan fizikal menjurus kepada mencederakan.
“Pasangan tersebut juga telah tampil membuat laporan polis dan pengadu wanita yang terlibat telah mengesahkan bahawa tidak dipukul dalam kejadian tersebut,” ujarnya.
Naazron berkata, kejadian berkenaan disahkan sebagai pertengkaran mulut semata-mata dan tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.
Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita tidak benar.


