DUA lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, tengah hari tadi.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Cik Hamdan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi kira-kira 14 minit kemudian.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Kancil dan Perodua Axia yang bertembung.
“Terdapat dua mangsa tersepit di bahagian pemandu iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun yang memandu Perodua Axia dan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun yang memandu Perodua Kancil.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi membabitkan lapan anggota bersama dua jentera iaitu Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).


