POLIS menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di kawasan Tanjung Batu Tengah, Tawau, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.45 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di tepi Jalan Tungku, Felda Sahabat, Lahad Datu, semalam.
Menurutnya, kes berkenaan bermula apabila mangsa, seorang wanita tempatan berusia 61 tahun membuat laporan polis pada 26 Mac lalu selepas mendapati rumahnya dimasuki individu tidak dikenali.
“Kejadian disedari mangsa selepas pulang ke rumah pada malam 25 Mac sebelum mendapati jeriji besi jendela belakang rumah dirosakkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelbagai barangan dilaporkan hilang termasuk dua komputer riba, televisyen 60 inci, jam tangan, beberapa pasang kasut, beg tangan serta barangan peribadi lain.
“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes termasuk komputer riba, jam tangan, beg dan sebuah telefon bimbit,” katanya.
Jasmin berkata, polis memandang serius jenayah pecah rumah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.


