POLIS sedang mengesan seorang wanita bagi membantu perbicaraan kes pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Butterworth.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, wanita berkenaan diperlukan sebagai saksi penting dan diminta hadir ke mahkamah pada 10 dan 11 November ini.
Beliau berkata, individu yang dicari ialah Nazatul Syuhada Ali, 30, warga tempatan yang alamat terakhirnya dikenal pasti di Bukit Tengah, Bukit Mertajam.
“Wanita berkenaan diminta hadir ke Mahkamah Tinggi Butterworth pada jam 8 pagi bagi membantu menyelesaikan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sedang dalam perbicaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita berkenaan supaya menghubungi pihak polis bagi membantu mengesan saksi terbabit.
Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Norfirdaus Azimi Roslan menerusi talian 013-436 9489, katanya.





