Tujuh warga asing ditahan, dadah RM1.08 juta dirampas di Bukit Tengah

POLIS menahan tujuh warga asing termasuk seorang wanita dan merampas dadah disyaki MDMA serta ketamin bernilai RM1.08 juta dalam serbuan di dua premis di Bukit Tengah di Bukit Mertajam pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah kira-kira jam 12.50 tengah malam.

Beliau berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita itu berusia antara 25 hingga 38 tahun.

“Hasil pemeriksaan di kedua-dua premis berkenaan membawa kepada penemuan dan rampasan dadah disyaki jenis serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) serta ketamin yang dianggarkan bernilai RM1.08 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif methamphetamine, manakala lima lagi negatif.

Nik Aminuddin berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau atau kesalahan berkaitan dadah.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 1 hingga 7 November bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nik Aminuddin berkata, polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah menerusi tindakan penguatkuasaan dan risikan secara berterusan.

“Usaha itu bagi memastikan kegiatan pengedaran dadah dapat dibanteras serta keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here