Helikopter FDS mendarat cemas di Bintulu akibat masalah teknikal

SEBUAH helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) melakukan pendaratan berjaga-jaga di kawasan lapang berhampiran Perumahan Sri Pertiwi, Kidurong di Bintulu hari ini selepas mengalami masalah teknikal ketika dalam penerbangan dari Sibu ke Miri.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan helikopter berkenaan dalam perjalanan ke Miri bagi menyertai satu program pameran.

Menurut laporan The Borneo Post, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.20 petang, namun Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pendaratan dilakukan pada jam 2.16 petang.

Nixon berkata, tiada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) berada dalam helikopter terbabit ketika kejadian, sebaliknya hanya juruterbang dan dua anak kapal.

Katanya, syarikat pengendali helikopter akan menghantar kakitangan dari Miri bagi memeriksa keadaan pesawat serta mengenal pasti punca masalah teknikal berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud mengesahkan helikopter berkenaan melakukan pendaratan sebagai langkah berjaga-jaga dan juruterbang tidak mengisytiharkan sebarang kecemasan.

“Saya sahkan pesawat berkenaan membuat pendaratan precautionary (langkah berjaga-jaga) dan juruterbang tidak mengisytiharkan sebarang kecemasan.

“Keseluruhan seramai dua penumpang serta seorang juruterbang dilaporkan dalam keadaan selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi malam ini, lapor BH.

Kejadian itu turut mendapat perhatian selepas video berdurasi 51 saat memaparkan sebuah helikopter FDS berwarna kuning mendarat di kawasan lapang berhampiran perumahan berkenaan tular dalam media sosial.

Insiden berkenaan mengundang perhatian orang ramai susulan tragedi nahas helikopter FDS yang mengorbankan lima individu di Long Lellang, Ulu Baram, lebih sebulan lalu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here