PM arah Program Jualan Rahmah MADANI di semua DUN setiap minggu

KERAJAAN akan memperluaskan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) kepada 30,000 di seluruh negara tahun ini, bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, telah berjaya menawarkan pengurangan harga antara lima hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

“Tahun lalu kerajaan telah melaksanakan lebih 25,000 PJRM melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara kita.

“Jadi saya ingin untuk dimulakan segera, sekarang dan untuk tahun 2026 ini kita telah mengumumkan 30,000 Jualan Rahmah,” katanya dalam sidang media berkaitan Krisis Bekalan Global di Putrajaya hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan akan diperluas ke semua kawasan DUN dan diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap minggu bagi memastikan pengguna mendapat kepastian lokasi serta jadual pembelian.

Selain itu, ia akan diperluaskan ke kawasan luar bandar, termasuk desa dan kampung terpilih.

“Dalam menjayakan program ini dan memberi manfaat kepada golongan peniaga kecil, kita nak pastikan supaya peniaga kecil juga terlibat.

“Kita tidak mahu ini jadi satu gelanggang untuk syarikat-syarikat besar, tetapi untuk memastikan faedah daripada Jualan Rahmah MADANI ini memberi kesempatan kepada peniaga-peniaga kecil menjual barangan mereka dengan kadar harga yang lebih murah,” katanya lagi.

Tambahnya, walaupun langkah itu tidak menyelesaikan keseluruhan masalah kos sara hidup, ia mampu meringankan tekanan yang dihadapi rakyat ketika ini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img