Organisasi media digesa mohon segera Dana Inovasi sehingga 14 Mei Ini

KEMENTERIAN Komunikasi meminta semua organisasi media untuk segera memohon Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang kini memasuki fasa kelima bermula 1 hingga 14 Mei depan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, permohonan fasa kelima itu sudah dibuka dengan setiap organisasi layak memohon sehingga RM300,000 merangkumi empat skop utama iaitu latihan kepada pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta pengukuhan kemudahan sokongan dan kandungan.

Menurutnya, setakat fasa pertama, sebanyak 34 organisasi media telah diluluskan dana berjumlah RM12.38 juta, manakala permohonan bagi fasa kedua hingga keempat masih dalam peringkat kelulusan.

“Jadi saya harap organisasi media yang belum memohon, sila ambil peluang ini kerana ini sudah sampai fasa kelima, mungkin kalau dana ini sudah habis kita tidak akan buka untuk fasa enam atau tujuh dalam tahun ini lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penutup Kursus Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Dalam Talian dan Etika Pelaporan Media, di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah IPPTAR, Datuk Roslan Ariffin, Ketua Bahagian Akademik IPPTAR, Mohammad Yusari Ameer Mohd Yusof dan Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia (MMM), Teh Athira Yusof.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, dana itu diwujudkan bagi membantu industri media yang berdepan cabaran ketara susulan perubahan landskap pengiklanan.

“Jadi kita harap dana ini boleh membantu media kita, terutamanya apabila organisasi media sekarang memang menghadapi satu cabaran, yang kita tahu semua keuntungan iklan-iklan sekarang diambil oleh platform media sosial,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan kepentingan literasi digital dan amalan semakan fakta dalam kalangan masyarakat yang dipacu teknologi AI, susulan peningkatan penyebaran maklumat palsu.

Sebagai contoh, beliau berkata, inisiatif AIFA (Artificial Intelligence Fact Check Assistant), sebuah chatbot di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang boleh diakses melalui WhatsApp dalam pelbagai bahasa.

“Ini satu aplikasi yang dibangunkan oleh MCMC. Walaupun mungkin bukan semua soalan boleh dijawab oleh AIFA, tetapi yang penting adalah apabila kita nampak atau terima sesuatu informasi, jangan kita cepat kongsi,” katanya sambil menambah budaya semakan fakta perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata sejak dilancarkan pada 2025, AIFA menerima purata 434 pertanyaan sehari, namun usaha promosi perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan lebih ramai pengguna memanfaatkan platform berkenaan.

Terdahulu, Nie Ching dalam ucapan penutup program itu berkata, MMM kini melaksanakan Fasa Dua Mekanisme Aduan yang bermula pada 8 April lalu, dengan semua aduan perlu dikemukakan melalui platform rasmi dan bukan lagi melalui e-mel.

Beliau berkata, pendekatan itu bagi memastikan pengurusan aduan lebih tersusun, telus dan profesional, sekali gus dapat meningkatkan keyakinan masyarakat.

“Hingga 30 April 2026, MMM telah menerima 10 aduan melibatkan isu ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran dan kesan kandungan terhadap keharmonian sosial. Daripada jumlah tersebut, lima aduan telah berjaya diselesaikan, manakala bakinya sedang dalam proses semakan,” katanya.

Kursus AI, Keselamatan Dalam Talian dan Etika Pelaporan Media yang berlangsung selama dua hari anjuran IPPTAR dengan kerjasama MMM itu, melibatkan 27 peserta dalam kalangan pengamal media pelbagai platform, yang memfokuskan kepada AI, keselamatan dalam talian dan etika pelaporan media dalam menghadapi cabaran teknologi semasa.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img