PRN 3 Negeri?…‘Cerdiklah sikit’…ini masa tolong rakyat, bukan masa berpolitik

KETIKA  rakyat dok bercakap soal perang Iran-Amerika Syarikat (AS), ketika kerajaan sedang bertungkus-lumus memikirkan bagaimana mahu mengurangkan beban rakyat, ada segelintir ahli politik tidak habis-habis mahu berpolitik.

Macam-macam alasan mereka berikan untuk mempertahankan hujah atau tindakan mereka. Selepas krisis di Negeri Sembilan, ia sekarang melarat pulak kepada mahu mengadakan pilihan raya di tiga negeri serentak.

Selain Negeri Sembilan, dua lagi negeri yang disebut ialah Melaka dan Johor – Kesemuanya terletak di selatan tanah air. Ketiga-tiga negeri ini belum lagi sampai tempoh untuk DUN dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan.

Tetapi entah mengapa ramai ahli politik lebih seronok bercakap soal pilihan raya sedangkan di hadapan mereka sebagai pemimpin, banyak lagi yang harus mereka lakukan bagi membantu mengurangkan beban rakyat dalam berhadapan krisis tenaga global ketika ini.

Di samping mereka sibuk berbicara soal pilihan raya, mereka juga hanya seronok mengecam dan mengkritik tindakan dilakukan oleh kerajaan di peringkat pusat dalam mengurangkan beban rakyat akibat krisis berkenaan.

Hinggakan kerajaan beri subsidi pun kena kritik, tak beri subsidi pun kena hentam! Malang sekali sesetengah politik kita sudah ‘buta’ untuk memahami situasi semasa.

Kalaupun kemaruk sangat dah hendak buat pilihan raya, sabarlah sikit. Tempoh tamat pemerintahan di ketiga-tiga itu lambat lagi. Melaka Disember 2026, Negeri Sembilan Ogos 2028 dan Johor Mac 2027.

Kenapa tidak boleh sabar! Apa yang mahu dikejar? Tak kan mereka tak tahu, kerajaan sedang berusaha mencari jalan untuk mempertahankan  subsidi minyak memandangkan harga bahan api itu terus meningkat akibat perang Iran.

Ini bukan soal kerajaan tahu memerintah atau tidak, tidak cekap atau tidak tetapi semua berlaku di luar kawalan kita. Kerajaan hanya berusaha sehabis mungkin tetapi negara mana mampu bertahan kalau bajet subsidi naik daripad RM700 juta kepada RM5 bilion – kenaikan RM4.3 bilion!

Jadi tidak logik dek akal mahu pula diadakan pilihan raya di tiga negeri itu yang pastinya akan menelan belanja tak kurang RM100 juta. Baru-baru ini bekas Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kalau PRN Melaka dan Johor diadakan serentak ia akan menelan belanja RM115 juta.

Maknanya kalau dibuat tiga negeri serentak belanja mungkin cecah RM150 juta hingga RM180 juta bergantung jumlah DUN dan pengundi. Kenapa perlu menghabiskan wang begitu sahaja semata-mata mahu ‘memuaskan nafsu’ segelintir ahli politik? Dengan jumlah RM150 juta macam-macam boleh buat untuk kurangkan beban rakyat.

Memang mahu tidak mahu pilihan raya perlu diadakan tetapi tunggulah tempoh yang ditetapkan. Bak kata orang Kedah ‘awat benak sangat’ nak buat pilihan raya ketika negara sedang dalam krisis dan rakyat tengah susah!

Justeru nasihat penulis kepada ahli-ahli politik, tolonglah hentikan cakap soal politik, sekarang bukan masanya. Ini masa untuk tolong rakyat, bukan masanya berpolitik.

Penulis percaya rakyat pun sudah menyampah dengan politik dan mungkin juga kepada orang politik. Apa yang dibimbangkan ialah mereka tidak lagi peduli soal pilihan raya selepas ini setelah melihat gelagat golongan tersebut.

Oleh itu cukup-cukuplah berpolitik sesama sendiri,mahu mempolitikkan segala isu dan setiap tindakan kerajaan dipolitikkan…tiada faedah pun. Sebab itu orang kata bijak tidak semestinya cerdik, cerdik tidak semestinya pandai…pandai belum tentu tak jahil…mungkin itu sifat segelintir ahli politik kita..entahlah

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img