‘’Terimalah hakikat, kita tak boleh terus bergantung kepada subsidi’’ – Liyana Marzuki

SEORANG aktivis komuniti menggesa rakyat Malaysia menjalani “semakan realiti” susulan kemungkinan pelaksanaan penghapusan subsidi yang kini mencetuskan perdebatan hangat.

Dalam suasana ekonomi negara yang semakin mencabar, kerajaan dilihat bersedia melaksanakan langkah kontroversi itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Langkah tersebut turut mencetuskan rasa tidak puas hati apabila ada pihak mempersoalkan mengapa rakyat perlu menanggung kesan daripada kelemahan pengurusan ekonomi.

Dalam temu bual bersama Sinar Daily, aktivis komuniti Liyana Marzuki berkata beliau baru-baru ini mengadakan sesi podcast bersama platform “Jangan Pajak Otak” bagi menyampaikan maklumat tepat berkaitan isu kepentingan awam.

Menurutnya, laporan oleh Bloomberg sebelum ini menyebut kemungkinan subsidi di Malaysia dihapuskan seawal Jun.

“Dalam sesi tersebut, kami menjemput Nurhisyam Hussein, penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bagi memberikan penjelasan lanjut.

“Antara pendedahan penting adalah kemungkinan kenaikan harga bahan api daripada RM2.05 seliter kepada RM3.50 seliter, iaitu peningkatan sebanyak RM1.45,” katanya.

Beliau berkata, lonjakan harga itu menimbulkan kebimbangan, khususnya apabila mengambil kira pengalaman negara jiran seperti Indonesia yang pernah menyaksikan rusuhan pada 2016 susulan pengurangan subsidi.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan bercadang melaksanakan rasionalisasi subsidi secara berperingkat, termasuk kemungkinan kenaikan secara berkala setiap enam bulan bagi mengurangkan kesan mendadak kepada rakyat.

Liyana turut menjelaskan bahawa pandangannya dipengaruhi oleh kedudukan hutang negara yang kini mencecah kira-kira 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bersamaan sekitar RM1.7 trilion — antara yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Beliau mengingatkan contoh negara seperti Sri Lanka dan Venezuela yang mengalami kejatuhan ekonomi akibat pengurusan fiskal tidak mampan serta kebergantungan berpanjangan kepada subsidi.

“Isu ini perlu dilihat demi generasi akan datang. Kita tidak boleh mengulangi kesilapan negara lain,” katanya.

Tambah beliau, usaha penghapusan subsidi sebelum ini oleh kerajaan terdahulu terjejas akibat isu rasuah seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat.

Menurutnya, kerajaan semasa kini berada pada kedudukan lebih sesuai untuk melaksanakan reformasi tersebut sekiranya benar komited terhadap agenda pembaharuan.

Dalam pada itu, Liyana mengakui golongan M40 sepertinya berkemungkinan tidak akan menerima manfaat langsung sekiranya subsidi dihapuskan, kerana bantuan tunai dijangka lebih tertumpu kepada golongan B40.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia kini berdepan realiti ekonomi yang berbeza berbanding masa lalu, termasuk beban hutang dan liabiliti subsidi yang tinggi.

“Jika dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia masih antara yang menawarkan harga bahan api paling rendah selepas Brunei, walaupun gaji di negara lain seperti Indonesia lebih rendah tetapi harga bahan api lebih tinggi.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa keadaan sudah berubah dan tidak boleh terus bergantung kepada subsidi. Jika tidak ditangani, ia boleh menjejaskan masa depan generasi akan datang,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img