SPRM akan bawa pulang 8 lagi lukisan berkaitan 1MDB bernilai RM120 juta

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses mendapatkan semula lapan lagi karya seni yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai lebih RM120 juta selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Karya seni itu membabitkan Henri Matisse bernilai AS$52,500; Alexander Calder (AS$125,000); Pablo Picasso (AS$1.265 juta); William H. Bailey (AS$66,250); Raoul Dufy (AS$40,000); serta Salvador Dalí dan Gustave Loiseau yang nilainya masih dalam proses pengesahan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM menganggarkan nilai kesemua hasil seni ternama itu RM6.9 juta.

Menurut Azam, SPRM juga giat mendapatkan semula hasil jualan lukisan Claude Monet berjudul Vétheuil au Soleil, yang dijual di Switzerland pada harga kira-kira EUR25.2 juta atau sekitar RM114 juta.

“SPRM sudah mengenal pasti sejumlah 12 karya seni untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Daripada jumlah itu, empat berjaya diperoleh semula, manakala lapan lagi kini berada dalam pelbagai peringkat proses pemulihan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut berhubung lukisan Claude Monet berjudul Vétheuil au Soleil, yang dijual di Switzerland, Azam berkata, dana berkenaan kini dalam proses penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, usaha pemulangan sedang diteruskan melalui saluran perundangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa di AS dan Switzerland.

Terdahulu, Azam mempamerkan empat lukisan ternama berjaya dibawa pulang yang sebelum ini dibeli menggunakan dana 1MDB di rumah lelong Sotheby’s di New York.

Empat lukisan berkenaan adalah karya oleh Joan Miró bertajuk Composition (1953) dengan nilai pembelian AS$93,750; karya Maurice Utrillo bertajuk Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934) bernilai AS$50,000; karya Balthus bertajuk Étude pour femme couchée (1948) bernilai AS$28,125; dan karya Pablo Picasso bertajuk L’Ecuyère et les clowns (1961) bernilai AS$26,250.

Semua karya itu keseluruhannya bernilai AS$198,125 bersamaan RM786,556.

“Karya lukisan berjaya dipulihkan melalui proses perundangan serta kerjasama strategik antarabangsa seperti FBI dan USDOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat).

“Karya seni ini bukan dirampas secara fizikal, tetapi diserahkan melalui proses sah termasuk pelaksanaan Power of Attorney (POA) oleh pihak USDOJ kepada SPRM melalui Jabatan Peguam Negara, ini membuktikan bahawa pendekatan pemulihan aset adalah berasaskan undang-undang dan diplomasi yang teliti,” katanya.

Azam berkata, empat lukisan terbabit ditempatkan sementara di Ibu Pejabat SPRM dengan kerjasama daripada Balai Seni Negara dengan penjagaan dan kawalan suhu diambil kira dengan sempurna.

Katanya, karya seni terbabit akan diserahkan kepada Balai Seni Negara dalam masa terdekat.

“Jadi saya ingin menambah di sini, sama ada aset ini hendak disimpan atau dijual kemudiannya, itu akan bergantung kepada keputusan daripada MOF (Kementerian Kewangan) kelak,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img