SAMBUTAN Hari Wartawan Nasional 2026 (HAWANA 2026) akan berlangsung pada 20 Jun ini di Pusat Konvensyen PICCA, Pulau Pinang dengan pelbagai pengisian bagi memperkukuh peranan media dalam pembangunan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, majlis kemuncak sambutan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, tema HAWANA 2026 yang diumumkan ialah ‘Media Berintegriti Teras Kredibiliti’ (Media Integrity Strengthens Credibility).
“Tema ini mencerminkan kepentingan integriti dalam kalangan pengamal media sebagai asas kepada kepercayaan dan kredibiliti masyarakat terhadap penyampaian maklumat,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurutnya, logo rasmi HAWANA 2026 mengetengahkan elemen jambatan Pulau Pinang dan pokok pinang sebagai simbol identiti negeri tuan rumah yang kaya dengan sejarah serta kemodenan.
“Secara keseluruhan, logo ini menggambarkan aspirasi HAWANA sebagai wadah penyatuan warga media dan masyarakat dalam mendukung pembangunan negara yang inklusif dan mampan,” katanya.
Fahmi berkata, sambutan kali ini akan diisi dengan pelbagai program termasuk forum media yang akan bermula lebih awal di Kuala Lumpur.
Katanya, perincian lanjut mengenai pengisian program akan diumumkan dari semasa ke semasa, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi portal rasmi HAWANA.


