KERAJAAN mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia bagi memastikan rakyat dapat menikmati kejohanan itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta bagi menjamin kualiti siaran serta capaian lebih luas kepada penonton di seluruh negara.
“Kerajaan MADANI komited memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati Piala Dunia FIFA 2026 secara inklusif, sah dan menyeluruh.
“Sehubungan itu, kerajaan memutuskan untuk menjalinkan usaha sama dengan sektor swasta dan dengan sukacitanya mengumumkan RTM dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi kejohanan ini di Malaysia,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurutnya, kejohanan berprestij itu akan disiarkan menerusi pelbagai platform termasuk siaran percuma (free-to-air) melalui MyTV, selain platform digital seperti RTM Klik dan Unifi TV.
Fahmi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, liputan penuh membabitkan kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda.
“Ini memberi pilihan lebih luas kepada peminat untuk mengikuti perlawanan mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya.
Fahmi berkata, program khas ‘Grandstand’ akan diterbitkan dari Angkasa Puri dengan penyampaian utama dalam bahasa Melayu serta sebahagian dalam bahasa Inggeris, selain perkembangan terkini turut dikongsikan menerusi program Selamat Pagi Malaysia.
Beliau turut memaklumkan bahawa acara tontonan umum akan dianjurkan di beberapa lokasi terpilih bagi memeriahkan suasana kejohanan serta meningkatkan penglibatan peminat.
“Beberapa penaja utama juga telah dikenal pasti dan sedang dimuktamadkan sebelum diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Tambahnya, kerajaan menegaskan kepentingan pematuhan terhadap peraturan anti cetak rompak sepanjang kejohanan berlangsung.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh terhadap sebarang pelanggaran dan semua pihak diminta memainkan peranan secara bertanggungjawab.
“Kerajaan berharap penganjuran dan siaran Piala Dunia FIFA 2026 mampu menyatukan rakyat melalui semangat kesukanan dan kebersamaan,” katanya.


