RTM cetuskan perkenalan, eratkan persahabatan, kukuhkan perpaduan melalui  Piala Dunia

 MUNGKIN ramai sudah lupa dan mungkin ramai tidak tahu ketika Piala Dunia berlangsung di Sepanyol pada 1982 – Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak mempunyai dana untuk membeli hak penyiar penuh perlawanan  yang berlangsung.

Perancangan asal RTM ialah mahu menayangkan empat perlawanan secara langsung iaitu pembukaan, dua perlawanan separuh akhir  dan akhir . Bagaimanapun hasrat itu tidak tercapai.

Namun keterujaan dan atas semangat mahu mencipta kegembiraan bersama, RTM bersetuju dengan cadangan orang ramai supaya kutipan derma dilakukan melalui  porgram ‘ People’s Live Telecast Fund (PLTF) untuk membolehkan RTM menyiarkan perlawanan tersebut.

Hasilnya sebanyak RM300,000 dikutip daripada orang ramai dan dengan jumlah itu RTM dapat menayangkan  tambahan empat lagi perlawanan secara langsung atas nama  ‘’Ditaja Rakyat Malaysia’’ (Sponsored by Malaysia people’.

Penulis masih ingat apa yang dikatakan oleh Ashwad Ismail pada hari pertama beliau melaporkan diri sebagai Ketua Pengarah Penyiaran. Kata  Aswad, beliau dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil akan berusaha memastikan RTM menjadi penyiar rasmi Piala Dunia 2026 kerana ‘`bola sepak adalah milik seluruh rakyat’’.

Semalam, apa yang dikatakan oleh Aswad menjadi kenyataan dan Fahmi membuktikan keprihatinan kerajaan apabila Fahmi mengumumkan RTM menjadi penyiar rasmi kejohanan tersebut.

Kata Fahmi, kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM24 juta, dengan sebahagian kos dijangka ditampung melalui tajaan sektor swasta yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Apa yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI dalam soal bola sepak Piala Dunia amat tepat. Ia memandangkan ketika rakyat menonton perlawanan ia bukan sekadar menonton bola sepak, sebaliknya banyak yang tersurat dan tersirat.

Apabila RTM menjadi penyiar rasmi bukan restoran-restoran mamak sahaja akan menjadi tumpuan malah warung  di desa dan gerai  di pinggir kota juga akan mendapat manfaatnya.

Selain meningkat atau menambah pendapatan peniaga terlibat,  menonton bersama akan mewujudkan perkenalan, menjalinkan persahabatan dan mengukuhkan perpaduan antara semua kaum dan peringkat umur.

Ketika menonton bola sepak itulah kita dapat melihat bagaimana tidak kira apa juga kaum mereka disatukan. Pelbagai telatah boleh dilihat, ada yang ketawa, ada yang tersenyum, ada yang bersedih bila pasukan kalah atau yang gembira apabila pasukannya menang.

Tua dan muda bergaul bersama, biarpun mereka baru mengenali di meja atau lokasi tersebut. Di situ mereka lupa seketika krisis yang ada, mereka lupa sebentar masalah yang membelenggu dan pastinya mereka lupakan perbezaan yang wujud.

Itulah hikmah besar  di sebalik Piala Dunia yang hadirnya lima tahun sekali. Atas sebab itulah, apa yang dilakukan Kementerian Komunikasi meneruskan tradisi RTM menyiarkan perlawanan kejohanan itu adalah langkah tepat.

Sesungguhnya dalam komunikasi ada persahabatan,  perkenalan dan perpaduan maka Kementerian Komunikasi menyatukannya melalui siaran bola sepak Piala Dunia.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img