DUA sindiket pengedaran dadah antarabangsa menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit penyeludupan bunga ganja ke Benua Eropah terbongkar selepas polis merampas lebih 157 kilogram (kg) dadah bernilai RM12.6 juta dalam tiga serbuan berasingan.
Dalam operasi itu, tujuh warga asing termasuk seorang wanita berusia antara 18 hingga 27 tahun turut diberkas dipercayai bertindak sebagai keldai dadah bagi sindiket terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagi kes pertama, empat warga asing termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 27 tahun ditahan dalam serbuan pada 28 April lalu.
“Polis mengesan empat bagasi mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di Terminal KLIA. Hasil pemeriksaan menemukan 64 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 67.2kg dengan nilai dianggarkan RM5.4 juta.
“Polis turut menyita wang tunai RM580, mata wang asing 20 euro dan seutas jam tangan bernilai kira-kira RM80,000,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan kedua pada 30 April lalu, seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun ditahan bersama dua bagasi mengandungi 59 bungkusan plastik berisi bunga ganja mampat seberat 29.5kg bernilai kira-kira RM2.4 juta.
Beliau berkata, hasil risikan susulan tangkapan itu membawa kepada penahanan dua lagi lelaki warga asing berusia 19 dan 25 tahun di sebuah premis kediaman di Kota Warisan, Sepang.
“Hasil pemeriksaan di premis itu menemukan empat bagasi mengandungi 109 bungkusan plastik berisi bunga ganja mampat seberat 60kg dengan nilai RM4.8 juta,” katanya.
Shazeli berkata, siasatan mendapati semua suspek menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini.
“Kesemua suspek dipercayai menjadi keldai dadah untuk sindiket berlainan dan dijanjikan upah lumayan bagi membawa keluar bunga ganja ke Benua Eropah.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan semakan juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan mampu menampung sehingga 523,000 penagih pada satu-satu masa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


