SEORANG pemandu wanita dipercayai secara tidak sengaja tertekan pedal minyak ketika membuat pusingan-U menyebabkan kenderaan dipandunya merempuh kedai dobi di Pasar Besar Wakaf Bharu di Tumpat, semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.20 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda City dipandu wanita tempatan berusia lingkungan 50-an.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati wanita itu memandu dari arah Jalan Puteri Saadong menuju ke kedai dobi itu sebelum membuat pusingan U di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, pemandu terbabit dipercayai secara tidak sengaja tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan dipandunya meluru lalu merempuh pintu kaca bahagian hadapan kedai dobi itu.
“Akibat kejadian itu, pintu kaca kedai dobi pecah, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Khairi, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.40 tengah hari daripada pemilik kedai dobi berusia 32 tahun.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-725 7222 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, pemilik kedai dobi Fafa Laundry berkenaan, Farah Amani Adnan ketika ditemui media memberitahu, kejadian berlaku sekitar jam 11.20 pagi apabila pemandu kereta berkenaan dipercayai sedang membuat pusingan U.

“Saya tak pasti sama ada pemandu wanita itu tersalah tekan pedal minyak dan terus menyebabkan kenderaannya terlanggar pintu kedai,” katanya sambil memberitahu jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM3,000 hingga RM4,000.
Pengusaha dobi itu bagaimanapun bersyukur kerana tiada kecederaan dilaporkan kerana menurut seorang pekerjanya, ketika kejadian terdapat tiga pelanggan di dalam premis itu.


