Pelayan bar tidak mengaku pandu mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut

SEORANG pelayan bar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan maut yang mengorbankan seorang ibu muda, Selasa lalu.

Tertuduh, S Darshan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian penunggang motosikal, Nur Aleya Natasha Roslan, 21.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Ujong Pasir berhadapan Kondominium Pasir Mutiara, Ayer Keroh kira-kira jam 2.30 pagi pada 5 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Jika disabitkan, tertuduh turut hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama 10 tahun dari tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan RM10,000 selain syarat tambahan supaya lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,200 sebulan selain menanggung bapanya berusia 58 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan Nur Aleya Natasha yang juga ibu kepada seorang anak berusia dua tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu tertuduh dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img