Hentikan isu 3R, patuhi undang-undang, titah Tengku Hassanal

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah, sebarang tindakan yang sengaja menimbulkan kebencian antara kaum dan agama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Baginda turut menegaskan tidak akan berkompromi dalam sebarang cubaan mengganggu gugat keharmonian di negeri ini, khususnya melalui isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

“Justeru, saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan. Semua pihak tanpa mengira latar belakang hendaklah bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang.

“Di samping itu, saya mahu menasihatkan agar sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat, sama ada di atas tanah kerajaan mahupun tanah persendirian hendaklah mematuhi sepenuhnya lunas undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.

“Keharmonian rakyat harus terpelihara dan tidak menjadi punca kepada sebarang persengketaan antara kaum dan agama. Janganlah bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa yang boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

Baginda turut mengingatkan, menjelang pilihan raya umum akan datang, semua pihak disaran tidak memainkan isu boleh gugat perpaduan, sebaliknya amalkan kematangan dalam berpolitik.

Titah baginda, pembangkang perlu berperanan sebagai semak dan imbang secara konstruktif, manakala kerajaan pula memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa ada yang tercicir dengan setiap wakil rakyat melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

“Bukannya tunjuk muka menjelang pilihan raya sahaja. Rajinkan diri turun naik jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan segala masalah rakyat dapat diselesaikan dengan cepat, cekap dan berkesan.

“Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok juga sampai kepada saya. Selesaikan dengan segera. Kalau perlu, turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua adalah wakil yang dipilih oleh rakyat. Bekerja bersungguh-sungguh. Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, baru nak buat itu dan ini,” titah baginda.

Sementara itu, baginda kecewa kerajaan Pusat kerana tidak meluluskan usaha Pahang menambah hasil seperti eksport pasir sungai, sedangkan negeri ini memiliki sungai terpanjang di Semenanjung, sekali gus tentu banyak mendapan pasir perlu dikeluarkan bagi melancarkan aliran air sungai, seterusnya mengelak banjir.

Titah Tengku Hassanal, sebelum ini, Pahang dapat menambah hasil negeri berpuluh-puluh juta ringgit dengan eksport pasir ke negara lain, tetapi tidak lagi dibenarkan kerajaan Pusat, sedangkan hasil tanah dan pasir adalah hak negeri.

Justeru, baginda mahu kerajaan Pusat memberi lebih kuasa dan ruang kepada kerajaan negeri apabila melaksanakan satu-satu projek, selain mengutamakan syarikat atau kontraktor berasal dari Pahang.

“Memang benar pelantikan kontraktor boleh dibuat kepada mana-mana dari seluruh Malaysia, tetapi saya mahu keutamaan itu diberikan kepada syarikat dari Pahang yang sememangnya diakui berkelayakan dan kompeten.

“Kerajaan Pusat semestinya teliti semula perkara ini, hak negeri Pahang sepatutnya dikembalikan semula kepada Pahang. Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang mengambil tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan,” titah baginda.

Pada masa sama, Tengku Mahkota Pahang mahu negeri ini meneruskan rekod kehadiran pelancong yang cemerlang dalam usaha merancakkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Titah baginda, sasaran pelancong dari luar negara serta hasil negeri perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor luaran yang boleh memberikan kesan kepada industri pelancongan.

“Prasarana dan kemudahan destinasi pelancongan juga perlu ditambah baik bagi menarik pelancong antarabangsa. Jangan sekadar bergantung harap pada Genting Highlands dan Cameron Highlands sahaja.

“Kita ada pelbagai destinasi menarik. Saya mahu Exco Pelancongan, Tourism Pahang dan semua yang berkaitan mesti proaktif. Tengok Cherating, apa yang perlu dibuat?, Kalau dulu, Cherating antara tempat tumpuan dunia, kenapa sekarang macam dilupakan?. Justeru, buat kerja, lipat gandakan usaha,” titah baginda.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img