Lelaki warga emas maut, isteri parah dibelasah suspek pecah rumah

SEORANG lelaki warga emas maut manakala isterinya parah selepas dipercayai dibelasah dalam kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar dekat Manjung awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius akibat dipukul suspek berusia 27 tahun menggunakan objek keras.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 5.30 pagi.

Menurutnya, jiran mangsa yang terdengar bunyi bising datang membantu sebelum membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa lelaki berusia 84 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek mengambil dua unit telefon bimbit dan sebuah beg duit milik mangsa sebelum melarikan diri.

Beliau berkata, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, sepasukan polis daripada Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menahan suspek pada hari sama kira-kira jam 7.45 malam.

Katanya, polis turut merampas semula barangan milik mangsa yang dilarikan oleh suspek.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 serta Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Hasbullah turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan hadir ke IPD Manjung atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau hotline WhatsApp 017-682 8005.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img