Nelayan didenda RM3,500 curi kepingan kayu gaharu 

SEORANG nelayan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Kero hari ini selepas mengaku bersalah mencuri kepingan isi pokok gaharu bernilai tinggi di Hutan Simpan Taman Botanikal Ayer Keroh, Isnin lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Ali Sulaiman, 40, dan memerintahkannya dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas mencuri kepingan isi pokok gaharu milik Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di kawasan Hutan Simpan Taman Botanikal Ayer Keroh kira-kira jam 1 pagi, 4 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu membabitkan pencerobohan harta dan sumber alam bernilai tinggi.

Menurutnya, pokok gaharu berkenaan mempunyai nilai komersial tinggi selain ditanam untuk tujuan landskap dan tarikan pelancong.

“Perbuatan tertuduh menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri serta menjejaskan kepentingan masyarakat umum yang mengunjungi taman botani.

“Hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran bahawa mahkamah tidak akan berkompromi terhadap kesalahan mencuri tumbuhan bernilai tinggi dan sumber alam,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), SS Amritpal Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya perlu menanggung dua anak selain pengakuan bersalah itu menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Mahkamah kemudian memerintahkan barang kes diserahkan semula kepada pihak pendakwaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img