CUBAAN tiga individu melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar papan tanda jalan di Damansara Heights, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, sebuah kereta jenis Honda City dikejar kereta peronda polis selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek memandu secara berbahaya sebelum memasuki Lebuhraya Sprint dan menuju ke susur masuk Kuala Lumpur.
“Kereta suspek kemudian terbabas serta melanggar papan tanda jalan di pusingan U Jalan Johar bersebelahan Pavilion Damansara Heights sebelum berjaya ditahan polis di lokasi kejadian.
“Hasil tangkapan, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 20-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seorang lagi suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dan sedang dikesan pihak polis.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Pemeriksaan turut mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki warga tempatan dan tiada rekod kehilangan kenderaan direkodkan,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan kedua-dua suspek direman sehari bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh di jalan awam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau tampil ke balai polis berhampiran.


