SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas dua pertuduhan merompak tiga individu dalam kejadian berasingan pada Disember tahun lalu dan September lalu.
Tertuduh, P. Mohan Raash, 34, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak seorang wanita berusia 65 tahun dengan mengugut bahawa mangsa dan ahli keluarganya akan ditembak.
Dia turut didakwa memaksa mangsa bersama seorang lagi wanita berusia 27 tahun menyerahkan barang kemas terdiri daripada seutas rantai, sepasang subang, seutas gelang tangan dan dua bentuk cincin emas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lorong kebun kelapa sawit, Bagan Lalang, Hutan Melintang, Bagan Datuk pada jam 8.30 pagi, 5 Disember 2025.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak seorang lelaki berusia 53 tahun dengan menampar muka dan menarik rambut mangsa sebelum memaksanya menyerahkan seutas rantai leher serta sepasang subang emas.
Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah tadika di Kampung Kamatchy Batu 9, Hutan Melintang, Bagan Datuk pada jam 7.28 pagi, 17 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rafidah Che Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Terence Naidu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula kes.





