LEMBAGA Disiplin Bersatu hari ini menggantung keahlian lima Ahli Parlimen dan dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kerana melanggar Perlembagaan, kod etika dan tata kelakuan ahli parti, berkuat kuasa serta merta.
Selain penggantungan tujuh wakil rakyat terbabit, parti itu turut memecat keahlian tiga pemimpinnya iaitu dua ADUN dari Kedah iaitu ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani; ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dan Naib Ketua Armada Nasional, Muhammad Faiz Rahmad atas kesalahan yang sama.

Lima Ahli Parlimen yang digantung keahlian selama dua penggal itu ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor.
Turut digantung keahlian ialah dua orang ADUN iaitu ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan kesemua tujuh wakil rakyat itu digantung mengikut Fasal 22.5 peraturan parti.

Surat penggantungan dan pemecatan 10 wakil rakyat dan pemimpin parti itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan berkuat kuasa serta merta iaitu pada tarikh surat dikeluarkan iaitu hari ini.
Menurut kenyataan surat pemecatan dan penggantungan itu, kesemua 10 pemimpin terbabit dikenakan tindakan selepas melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika serta Tata Kelakuan Ahli parti.

“Dengan penggantungan tersebut, kesemua mereka secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.
“Kesemua mereka bagaimanapun diberi tempoh selama 14 hari untuk membuat rayuan berhubung penggantungan dan pemecatan kepada Lembaga Disiplin parti,” menurut surat tersebut yang diperolehi utusanmelayuplus hari ini.
Difahamkan, kesemua pemimpin dan wakil rakyat berkenaan merupakan penyokong bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.
Selain Hamzah, Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat 16 pemimpin parti yang disifatkan sebagai langkah pembersihan besar-besaran pada 13 Februari lalu.






