Bersatu bertindak: Gantung 4 Ahli Parlimen dan 1 ADUN, pecat 2 ADUN

LEMBAGA Disiplin Bersatu hari ini menggantung keahlian empat Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kerana melanggar Perlembagaan, kod etika dan tata kelakuan ahli parti, berkuat kuasa serta merta.

Selain penggantungan lima wakil rakyat terbabit, parti itu turut memecat keahlian dua ADUN dari Kedah iaitu ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis atas kesalahan yang sama.

DUA ADUN yang dipecat iaitu Abdul Razak Khamis (kiri) dan Dzowahir Ab Ghani

Empat Ahli Parlimen yang digantung keahlian selama dua penggal itu ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah dan Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail.

Turut digantung keahlian ialah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin dan kelima-lima wakil rakyat itu digantung mengikut Fasal 22.5 peraturan parti.

ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin merupakan salah seorang wakil rakyat yang digantung selain empat Ahli Parlimen Bersatu

Surat penggantungan dan pemecatan tujuh wakil rakyat itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan berkuat kuasa serta merta iaitu pada tarikh surat dikeluarkan iaitu hari ini.

Menurut kenyataan surat pemecatan dan penggantungan itu, kesemua tujuh wakil rakyat terbabit dikenakan tindakan selepas melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika serta Tata Kelakuan Ahli parti.

“Dengan penggantungan tersebut, kesemua mereka secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

“Kesemua mereka bagaimanapun diberi tempoh selama 14 hari untuk membuat rayuan berhubung penggantungan dan pemecatan kepada Lembaga Disiplin parti,” menurut surat tersebut yang diperolehi utusanmelayuplus hari ini.

Difahamkan, kesemua tujuh wakil rakyat berkenaan merupakan penyokong bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.

Selain Hamzah, Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat 16 pemimpin parti yang disifatkan sebagai langkah pembersihan besar-besaran pada 13 Februari lalu.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img