DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia mahu rundingan berhubung isu Laut China Selatan perlu terus berlangsung antara ASEAN dan China, tanpa campur tangan kuasa luar.
Menurut Perdana Menteri, pendirian itu selaras dengan prinsip kepusatan ASEAN yang perlu diperkukuh, terutama ketika rantau ini berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
Beliau berkata, Malaysia juga mahu rundingan berhubung Code of Conduct atau Tata Tata Laku Laut China Selatan antara ASEAN dan China dipercepatkan.
“Isu Laut China Selatan turut dibincangkan. Malaysia masih berpendapat rundingan harus berlangsung antara ASEAN dan China, tanpa membabitkan kuasa luar lain.
“Malaysia juga mengekalkan pandangan bahawa Code of Conduct antara ASEAN dan China perlu dipercepatkan. Setakat ini, Kementerian Luar menekankan bahawa terdapat kemajuan ke arah itu,” katanya dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina hari ini, lapor BuletinTV3.
Menurut Anwar, krisis geopolitik semasa memberi pengajaran bahawa ASEAN perlu memperkukuh kesatuan dan tidak boleh berpecah dalam menangani isu rantau.
Beliau berkata, hanya dengan kesatuan itu, ASEAN mampu memastikan segala dasar serta mekanisme yang sudah dipersetujui dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, prinsip bebas dan berkecuali juga perlu diterjemahkan secara konsisten, bukan secara terpilih berdasarkan hubungan dengan mana-mana kuasa besar.
Pada masa yang sama, Anwar berkata, ASEAN perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua negara, namun tetap berpegang kepada pendirian berprinsip.
“Kita juga mengambil pendirian untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.
“Kita tidak boleh menyatakan bahawa kita berpegang kepada centrality ASEAN dan dasar bebas, sekiranya kita hanya memilih untuk mendukung negara yang rapat dengan Barat atau Eropah, tetapi tidak dengan negara lain,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan ASEAN kekal sebagai platform utama dalam mengurus kepentingan rantau, termasuk isu keselamatan, perdagangan dan kestabilan serantau.
Dalam keadaan dunia berdepan ketegangan geopolitik, ASEAN perlu memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan kepentingan bersama negara anggota serta kestabilan rantau itu, katanya.


