Kembalilah ke Rumah Bangsa, UMNO pelawa ahli Bersatu dipecat, digantung

UMNO sedia menerima semula mana-mana pimpinan dan ahli parti Bersatu yang dipecat atau digantung keahlian.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO membuka pintu kepada semua pihak tanpa sebarang syarat termasuk pemimpin dan ahli Bersatu yang dikenakan tindakan disiplin parti itu.

“Kembalilah ke Rumah Bangsa! UMNO sedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli BERSATU yang dipecat atau digantung.

“Lagipun semuanya berasal dari RAHIM UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa jam tindakan Lembaga Disiplin Bersatu memecat serta menggantung keahlian beberapa wakil rakyat dan pemimpin parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Antara yang dipecat ialah Aahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani; ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dan Naib Ketua Armada Nasional, Muhammad Faiz Rahmad.

Lima Ahli Parlimen pula digantung keahlian bagi dua penggal pemilihan parti iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).

Turut dikenakan tindakan ialah ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.

Lembaga Disiplin Bersatu memaklumkan tindakan itu dibuat kerana mereka didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tata Kelakuan Ahli parti.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img