JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 46,384 notis pelbagai kesalahan jalan raya hasil pemeriksaan ke atas 137,917 kenderaan menerusi Ops Khas Pengarah yang dilaksanakan sepanjang tempoh Januari hingga 30 April lepas.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, daripada jumlah kenderaan diperiksa itu, sebanyak 18,874 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, menerusi operasi itu juga sebanyak 40,501 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu 5,273 motosikal dikenakan tindakan.
“Sepanjang tempoh tersebut kesalahan bagi kategori pelesenan kenderaan mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 15,881, diikuti kesalahan teknikal (13,577) dan pelesenan pemandu (8,717).
“Dalam Ops tersebut sebanyak 479 kenderaan turut disita membabitkan motosikal iaitu 177, kereta (146) dan lain-lain kenderaan (156),” katanya dalam sidang media di Pejabat JPJ Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Mengulas lanjut Jasyindar berkata, JPJ Negeri Sembilan menyita 45 kenderaan mewah yang tiada cukai jalan dan insurans sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata, tiga kenderaan mewah yang disita itu adalah Porsche, Audi (4), masing-masing tiga kereta Toyota Alphard dan Vellfire, Mercedes Benz (15), BMW (12) serta lapan lain-lain kenderaan.
Katanya, seorang daripada pemilik kereta yang disita adalah lelaki bergelar Datuk berusia lewat 40-an kerana kenderaannya tiada cukai jalan dan insuran tamat tempoh.
“Segelintir pemilik kenderaan mewah ini dikesan liat untuk membayar insurans dan cukai jalan, malah terdapat sebahagian mereka yang bergelar Datuk serta golongan profesional termasuk ahli perniagaan bebas memandu di jalan raya tanpa rasa bersalah.
“Kereta Porsche yang disita kali ini, pernah dikenakan tindakan sama sebelum ini kerana kesalahan cukai jalan dan insurans tamat tempoh. Ini menimbulkan persoalan kerana mereka mampu beli kereta mewah, tetapi tiada cukai jalan dan insurans,” katanya.


