Mat Sabu dedah sikap PM lebih utamakan rakyat, tidak benarkan subsidi ditarik sewenang-wenangnya

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat apabila setiap kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya menghapuskan subsidi terutama membabitkan barangan keperluan dan makanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau bersama pegawai kementerian telah beberapa kali bertemu Perdana Menteri untuk memberi penjelasan berhubung langkah menarik subsidi telur ayam, yang pada mulanya tidak dipersetujui kerana dibimbangi menyebabkan kenaikan harga barangan asas.

Menurutnya, selepas kementeriannya memberi jaminan bahawa perbincangan telah dibuat bersama penternak, keputusan menarik subsidi telur ayam akhirnya dipersetujui dan ternyata harga tidak meningkat, malah berlaku lambakan telur pada Ramadan lalu.

“Untuk hadapi masa yang sukar, ini tugas kerajaan yang dibuat terutamanya oleh Perdana Menteri kita. Tuan-tuan tahu, paling payah nak lawan dengan dia (mengenai) kenaikan harga ini.

“Dia tak setuju, dulu telur ayam, kita nak tarik subsidi, saya dengan pegawai-pegawai terpaksa jumpa dia berkali-kali dengan maklumkan yang kita nak tarik subsidi telur ayam.

“Dia tanya (nanti) tak naik harga ke? Selepas itu dia (berseloroh) dia kata Mat (Mohamad) kalau naik hang (awak) jaga. Saya kata, tak…kita dah bincang dengan penternak,” katanya.

Mohamad yang merupakan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata demikian ketika berucap di pekarangan Pejabat Amanah Pulau Pinang, Sungai Dua malam tadi.

Menurut Mohamad, kerajaan tidak boleh bermusuhan dengan penternak kerana hanya satu atau dua kartel yang buat jahat, sedangkan kebanyakan penternak lain boleh bekerjasama.

Beliau menambah, keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyat turut dapat dilihat apabila krisis Asia Barat yang telah berlaku selama tiga bulan masih belum memberi kesan besar kepada Malaysia.

Sebagai contohnya, Mohamad memberitahu, harga sayur dan ikan di kebanyakan negara yang dilawatinya ketika ini didapati naik, namun keadaan di Malaysia masih berada pada tahap yang agak baik dan terkawal.

Menurut beliau, harga barangan makanan lain di Malaysia juga masih berada pada tahap yang agak baik, jika dibandingkan dengan beberapa negara lain seperti Indonesia, China, Korea dan Vietnam.

Kongsinya lagi, kerajaan akan terus berusaha menampung dan mengawal harga barangan selagi termampu demi memastikan beban rakyat dapat dikurangkan.

“Kita pesan jangan beli beras cara mengejut (tetapi) beli macam biasa. Alhamdulillah rakyat ikut sekarang, tidaklah beli secara mengejut maka dapat kita kawal sekarang ini.

“Tapi kalau peperangan ini berterusan tiga hingga empat bulan lagi dengan harga minyak melebihi AS$100 setong, keadaan itu akan memberi kesan kepada harga barang. Sebab itu kita peringatkan daripada sekarang hal itu. Yang mana kerajaan boleh tampung, kerajaan tampung,” ujarnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img