MTUC bubar sementara: Kesatuan usaha tubuh Persekutuan sekerja baharu

BEBERAPA kesatuan di bawah Gabungan Pembaharuan Undang-Undang Buruh sedang berusaha menubuhkan sebuah persekutuan kesatuan sekerja baharu susulan pembubaran sementara Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Wakil Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu N Gopal Kishnam berkata, persekutuan baharu itu akan dinamakan Persekutuan Kesatuan Sekerja Malaysia, atau MFTU, dengan jawatankuasa sementara (pro tem) telahpun dibentuk.

Dalam jawatankuasa tersebut, Gopal memegang jawatan Setiausaha Agung.

Antara kesatuan yang diwakili dalam jawatankuasa sementara tersebut termasuk Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Sarawak (SBEU); Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM); Kesatuan Jururawat Malaya (MNU); Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU); dan Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara (EIEUNR).

Kesatuan-kesatuan lain yang terlibat mewakili pekerja dalam industri elektronik, tekstil, percetakan, produk kertas, perkhidmatan dan perkayuan.

Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif SBEU Andrew Lo, dengan Ikmal Azam Thanaraj daripada NUSPM bertindak sebagai timbalannya.

Presiden SMSU Ajulahin Japin, Timbalan Presiden SBEU Joseph Kong, Presiden MNU Saaidah Athman dan Presiden EIEUNR Razi Rahim masing-masing bertindak sebagai naib presiden mewakili Sabah, Sarawak, sektor awam dan sektor swasta

Gopal berkata, pembubaran sementara MTUC membawa implikasi serius kepada gerakan buruh apabila golongan pekerja kehilangan perwakilan penting pada peringkat nasional dan antarabangsa.

“Pada saat genting ini, pekerja Malaysia berhak mendapat sinar harapan baharu. Sinar yang progresif, inklusif dan komited sepenuhnya untuk mempertahankan hak serta martabat pekerja..

“Aspirasi kami adalah untuk menubuhkan sebuah persekutuan rentas sektor berasaskan keahlian yang meluas, mewakili pekerja di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, untuk didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja,” katanya dalam kenyataan.

Gopal berkata, MFTU akan menumpukan pada usaha memperjuangkan nasib pekerja dan kesatuan melalui pembinaan kapasiti dan pakatan, kesatuan sekerja digital, penyelidikan dasar, libat urus antarabangsa serta kerjasama serantau.

“Kami menjangkakan dapat memenuhi syarat-syarat perundangan bagi pendaftaran menjelang akhir Julai, yang akan disusuli dengan penganjuran kongres penubuhan sebelum penghujung tahun ini.

“Kami menyeru kesatuan-kesatuan sekerja dan para pekerja yang berkongsi visi gerakan buruh yang demokratik, progresif dan bersatu padu untuk menyertai kami dalam usaha penting ini,” katanya.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membubarkan MTUC secara sementara pada 7 Mei susulan kegagalannya berulang kali mematuhi arahan untuk mengemukakan penyata kewangan beraudit dan buku akaun.

Ini termasuk maklumat berkaitan kewangan atau aset yang diterima dari sumber asing antara 2020 dan 2025.

MTUC, badan penaung terbesar di negara ini mewakili kepentingan kesatuan sekerja dan pekerja, berhak mengemukakan rayuan kepada menteri dalam negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh arahan tersebut dikeluarkan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img