BEKAS Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan lebih awal dari penjara hari ini, sekali gus membuka ruang beliau kembali mencuri tumpuan dalam arena politik negara itu.
Tokoh berpengaruh berusia 76 tahun itu, sedang menjalani hukuman penjara selama setahun atas kesalahan rasuah sejak September lalu.
Beliau dibebaskan secara parol pagi ini dengan syarat memakai alat pemantauan elektronik sehingga tempoh hukuman tamat selama empat bulan.
Selama dua dekad, jentera politik Thaksin menjadi pencabar utama kepada kelompok elit pro-tentera dan pro-kerabat Diraja Thailand yang melihat pendekatan populisnya sebagai ancaman kepada susunan sosial tradisional.
Partinya, Pheu Thai Party bersama entiti terdahulu adalah parti paling berjaya di negara itu pada abad ke-21, dengan keluarga Shinawatra melahirkan empat Perdana Menteri serta mendapat sokongan meluas daripada penduduk luar bandar.
Namun, parti Pheu Thai mencatat keputusan pilihan raya terburuk dalam sejarah pada Februari lalu apabila jatuh ke tempat ketiga, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan dinasti politik Thaksin.
Walaupun begitu, penyertaan Pheu Thai dalam kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri konservatif, Anutin Charnvirakul, membuka ruang kepada kemungkinan kebangkitan semula politik Thaksin.
Jabatan Penjara Thailand mengumumkan keputusan membebaskan Thaksin secara parol bulan lalu, dengan mengambil kira faktor usia serta baki hukuman yang kurang daripada setahun.
Thaksin dipenjarakan selepas Mahkamah Agung tahun lalu memutuskan bahawa beliau tidak menjalani hukuman 2023 dengan sewajarnya apabila ditempatkan di bilik hospital dan bukannya di sel penjara.


