Vijay arah tutup 717 kedai arak di seluruh Tamil Nadu

KETUA Menteri Tamil Nadu, Joseph Vijay Chandrasekhar mengarahkan penutupan 717 kedai arak milik kerajaan negeri, TASMAC kerana didapati beroperasi terlalu hampir dengan sekolah, rumah ibadat dan stesen bas di seluruh negeri selatan India itu.

Kesemua premis perniagaan itu dikenal pasti berada dalam lingkungan 500 meter dari kawasan awam dan lokasi sensitif yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

Menurut kerajaan negeri, semua premis yang terlibat diarahkan menghentikan operasi dalam tempoh dua minggu.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas pihak berkuasa menjalankan semakan terhadap lokasi kedai arak di beberapa daerah yang sebelum ini pernah mencetuskan bantahan penduduk setempat.

Kerajaan Tamil Nadu menyatakan langkah tegas itu diambil bagi mengurangkan pendedahan masyarakat terhadap alkohol terutamanya dalam kalangan pelajar dan golongan muda.

Selain itu, penutupan tersebut juga bertujuan meningkatkan keselamatan awam dan mengurangkan gangguan sosial yang sering dikaitkan dengan kedai arak di kawasan berpopulasi padat.

Difahamkan, TASMAC adalah syarikat milik kerajaan Tamil Nadu yang mengawal sepenuhnya penjualan minuman keras di negeri berkenaan.

TASMAC mengendalikan 4,765 kedai arak di seluruh negeri dengan 276 daripadanya terletak berhampiran rumah ibadat, 186 berdekatan institusi pendidikan dan 255 lagi sekitar stesen bas.

Sebelum ini, pertubuhan sosial dan kumpulan agama mendakwa premis tersebut boleh memberi kesan negatif terhadap persekitaran komuniti.

Arahan terbaharu itu turut dilihat sebagai sebahagian usaha pentadbiran Vijay untuk memenuhi janji politik partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang berikrar mahu memperketat kawalan terhadap penjualan alkohol di Tamil Nadu.

Keputusan tersebut mendapat perhatian meluas kerana melibatkan jumlah penutupan kedai arak berskala besar.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img