Penganggur didakwa bunuh jiran warga emas dengan parang

SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, atas pertuduhan membunuh jirannya yang juga wanita warga emas dalam kejadian tragis di Taman Desa Aman, minggu lalu.

Tertuduh, Foon Choon Kheong, 53, bagaimanapun tidak mengaku atau menafikan pertuduhan sebaik ia dibacakan di hadapan Majistret S S Evangelin kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Woo Chui Fun, 70, di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, daerah Kinta antara jam 4.40 petang hingga 10 malam pada 4 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili peguam Khesminkapil Dhanoa Singh.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia serta bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan maut dengan beberapa kesan tetakan pada badan, kepala dan leher di kediamannya.

Polis turut menemukan sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian selain beberapa tin minuman beralkohol di lokasi.

Siasatan juga mendapati suspek pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan pada Februari lalu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img