Jenayah seksual kanak-kanak: 171 pedofil ditahan, 1.4 juta fail pornografi dirampas sepanjang dua tahun – MCMC

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati negara kini berdepan ancaman serius membabitkan jenayah seksual kanak-kanak dalam talian yang semakin membimbangkan dan tidak lagi boleh dipandang ringan.

Menurut suruhanjaya itu, ini berdasarkan sepanjang tempoh dua tahun iaitu sejak 2024 hingga tahun ini, sebanyak 117 individu yang terlibat dalam jenayah berkaitan pedofilia dan eksploitasi seksual kanak-kanak telah ditahan menerusi empat operasi utama.

Kata suruhanjaya itu, berdasarkan data operasi bersama Polis Diraja Malaysia dan MCMC, sepanjang tempoh itu juga pihak berkuasa telah merampas lebih 1.4 juta fail digital pornografi, termasuk sekurang-kurangnya 204,934 fail Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang disahkan.

“Selain 117 tangkapan, antara penemuan pihak berkuasa sepanjang operasi itu adalah serbuan ke atas 162 lokasi, rampasan 272 alat peranti, sejumlah 1,470,694 fail digital dirampas, sebanyak 204,934 fail CSAM yang disahkan serta pendakwaan ke atas 101 orang individu.

“Trend ini menunjukkan bahawa ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian adalah nyata, tersusun dan semakin serius,” kata MCMC dalam satu kenyataan taklimat media berhubung inisiatif pengesahan umur bawah 16 tahun dilarang menggunakan media sosial hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, melihat kepada skala ancaman ini, langkah pengesahan umur dan jaminan umur bagi pengguna bawah 16 tahun bukan lagi soal pilihan, tetapi keperluan keselamatan.

Katanya, keperluan pengesahan umur itu adalah bagi mengekang kandungan pornografi ekstrem, eksploitasi seksual dalam talian, pemangsaan digital oleh pedofil, grooming dan manipulasi seksual serta interaksi tidak selamat di platform media sosial.

MCMC berkata, pengesahan umur bertujuan memastikan platform digital mengambil tanggungjawab lebih serius dalam melindungi pengguna bawah umur daripada akses kepada kandungan dan interaksi berisiko tinggi.

Menurut suruhanjaya itu lagi, inisiatif pengesahan umur bukan bertujuan menghukum atau menyekat kanak-kanak daripada teknologi sebaliknya ia bertujuan menjadikan platform digital itu lebih bertanggungjawab, akses digital lebih bersesuaian dengan umur serta  internet menjadi ruang yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.

“Keselamatan kanak-kanak dalam talian memerlukan kerjasama daripada semua pihak iaitu kerajaan, platform digital, ibu bapa dan Masyarakat,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img