POLIS menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai memandu secara berbahaya sehingga mencetuskan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Lebuhraya NKVE menghala ke Plaza Tol Duta, malam Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 11 malam itu membabitkan sebuah Proton Inspira, Proton Wira dan sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux.
“Siasatan awal mendapati Proton Inspira dipandu lelaki tempatan berbangsa India berusia 26 tahun dipercayai terbabas sebelum berhenti di lorong kanan lebuh raya.
“Sebuah Proton Wira yang dipandu lelaki warga Indonesia berumur 40 tahun kemudian terlanggar kenderaan tersebut sebelum kereta pikap dipandu lelaki tempatan berumur 41 tahun turut melanggar Proton Inspira berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zamzuri berkata, akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua kenderaan terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.
Menurutnya, kesemua pemandu yang terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kenderaan pikap mengalami kerosakan pada bahagian bumper belakang, sensor undur, bonet hadapan, bumper hadapan serta tangki air manakala Proton Wira rosak pada bumper, bonet, lampu hadapan kiri dan kanan serta fender.
“Kerosakan pada Proton Inspira pula masih dalam siasatan,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, pihaknya sudah mengesan serta menahan pemandu Proton Inspira bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan antara tindakan yang diambil termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam percakapan saksi, pemeriksaan lokasi serta dokumentasi kenderaan terlibat.


