‘Saya hanya mampu bayar RM5,000,’ – rayu lelaki didakwa rompak gelang emas ibu saudara

“SAYA hanya mampu bayar RM5,000…,” rayu seorang pekerja kilang di Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini selepas mengaku tidak bersalah merompak gelang tangan emas milik ibu saudaranya bernilai RM15,000, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nor Anuar Jabar, 35, tetap diperintahkan membayar ikat jamin RM10,000 oleh Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar selepas gagal melunaskan bayaran berkenaan.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa merompak gelang tangan emas milik wanita berusia 72 tahun di sebuah rumah di Kampung Gombak, Simpang 5, kira-kira jam 1 tengah hari pada 20 April lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berada di rumah sebelum didatangi seorang lelaki bertopeng yang bertindak meragut gelang tangan emas dipakainya.

Mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum suspek melarikan diri bersama barang kemas itu ke arah kebun sawit di belakang rumah.

Susulan siasatan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Khas/Jenayah Berat (D9) diketuai Inspektor Amirul Iman Hassan berjaya menahan tertuduh di Klang, Selangor bagi membantu siasatan.

Mahkamah menetapkan 8 Jun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Selain itu, tertuduh turut diperintah melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan segera.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img