KJ tidak lagi  terlalu obses jadi PM, berundur sebagai hos  Keluar Sekejap

KHAIRY JAMALUDDIN berkata, beliau masih menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri  suatu hari nanti, namun menegaskan bahawa beliau tidak lagi terlalu obses untuk memegang jawatan tertinggi negara itu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, menjadi Perdana Menteri sentiasa menjadi “cita-cita sepanjang hayatnya”, dan sebelum ini menganggap kegagalan mencapai impian itu sebagai satu kegagalan dalam hidup.

Bagaimanapun katanya, selepas tiga tahun berada di luar politik aktif, perspektifnya berubah.

“Ia sentiasa menjadi cita-cita sepanjang hayat saya untuk berada dalam kedudukan kepimpinan dalam politik dan menjadi Perdana Menteri adalah jawatan terbaik, kerana anda boleh melakukan paling banyak perkara dan membantu paling ramai orang.

“Saya sentiasa merasakan bahawa saya tidak akan dianggap berjaya dalam hidup jika saya tidak menjadi Perdana Menteri. Sekarang, saya rasa tidak mengapa jika saya tidak menjadi Perdana Menteri. Saya tidak akan menganggap diri saya gagal dan saya masih bernilai sebagai seorang insan,” katanya dalam wawancara bersama Malay Mail.

Khairy dipecat daripada UMNO kerana didakwa melanggar disiplin parti pada Januari 2023.

Keahliannya dipulihkan bulan lalu menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang diwujudkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

Menyifatkan tiga tahun terakhir sebagai “berjaya dari sudut komersial”, Khairy berkata beliau juga mempunyai lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan serta menjalani kehidupan yang kurang tertekan berbanding ketika menguruskan pandemik Covid-19 sebagai Menteri Kesihatan.

“Jika peluang itu datang dan jika rakyat mahukan saya, ia masih merupakan cita-cita sepanjang hayat saya tetapi ia bukan segala-galanya. Saya tidak lagi berada di sini untuk tergesa-gesa mendapatkan jawatan itu,” katanya.

Jika beliau menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, Khairy berkata beliau mahu memimpin negara mencapai potensi sebenar, walaupun perlu mengambil risiko politik.

“Pada pandangan saya, Malaysia ialah pelajar yang sedikit kurang menyerlah atas sebab-sebab yang kita cipta sendiri. Jika negara ini dapat mengatasi kekangannya sendiri, tiada apa yang boleh menghalangnya selain batasan fizikal.

“Kita perlu mengambil sedikit risiko politik untuk kembali menonjol setanding kemampuan sebenar kita, sesuatu yang tidak kita lakukan sekarang, tetapi ia boleh dilakukan,” katanya.

Spekulasi mengenai masa depan politik Khairy turut timbul selepas beliau kembali ke UMNO,  termasuk cadangan supaya beliau bertanding di Kedah pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengalu-alukan Khairy untuk bertanding di negeri yang dipimpin Pas itu dengan menyatakan bahawa negeri di utara tanah air itu ialah “padang terbuka untuk semua”.

Bagaimanapun, Khairy berkata masih terlalu awal untuk beliau menentukan kawasan yang mahu ditandingi.

“Saya tidak begitu memahami dinamika di Kedah walaupun ibu saya berasal dari Kedah, sebab itu spekulasi ini bermula. Pada pandangan saya, pilihan raya sekurang-kurangnya masih setahun lagi kerana saya tidak fikir PMX akan mengambil risiko dalam keadaan global semasa.

“Tetapi saya harap kali ini saya mempunyai sedikit lebih masa berbanding dahulu, apabila saya hanya dimaklumkan tiga hari sebelum penamaan calon untuk bertanding di Sungai Buloh,” katanya.
Pada PRU-15, Khairy tewas kepada Datuk Seri R.Ramanan di kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan majoriti 2,693 undi.

Mengenai Keluar Sekejap, Khairy berkata kepulangan beliau ke UMNO menandakan  pengunduran sebagai hos podcast itu.

Khairy berkata beliau telah berbincang dengan Shahril  Hamdan sejak beberapa bulan lalu mengenai pelan kesinambungan perniagaan podcast itu, termasuk kemungkinan kerjasama dengan syarikat media digital lain bagi memastikan ia terus berkembang.

“Sayang jika kita hentikan begitu sahaja selepas saya berundur. Kita sudah membina tapak yang kecil, dan saya rasa ia boleh berkembang lagi.

“Saya beritahu Shahril bahawa perniagaan ini berada di tangannya apabila saya pergi. Saya masih akan membantu di belakang tabir dan kekal sebahagian daripada organisasi itu. Jadi, selamat maju jaya kepada Shahril,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img